Tips Kebaikan Bersarapan

Sudahkah anda bersarapan pagi ini? Pasti ramai yang berkata ‘Tidak, saya tidak sempat’ atau ‘Saya jarang bersarapan’. Ramai tidak bersarapan kerana lupa atau ada kekangan masa dan ruang terutamanya dalam kalangan pekerja dan pelajar.
Sarapan adalah makanan pertama yang diambil selepas bangun pagi atau sebelum memulakan aktivit harian. Kita digalakkan untuk bersarapan dalam jangka masa dua jam selepas bangun tidur kerana sarapan dapat meningkatkan paras gula atau glukosa dalam badan selepas berlapar selama lapan jam atau lebih semasa tidur.
Sarapan ibarat energy booster untuk memulakan hari kerana jika anda tidak bersarapan, metabolisma anda menjadi perlahan dan cenderung untuk makan lebih banyak pada tengah hari. Kajian turut mengaitkan kepentingan sarapan dengan prestasi kerja kerana sarapan dapat meningkatkan fokus dan mengelakkan anda mengantuk sebelum memulakan kerja.
Sarapan yang kerap diambil oleh penduduk Malaysia ialah roti canai, nasi lemak, teh tarik, kuih-muih dan fast food secara drive-thru. Makanan ini pastinya sedap, cepat dan mudah didapati di mana-mana tapi ini bukanlah pilihan yang terbaik untuk setiap hari. Jadi apa pilihan yang terbaik untuk sarapan terutama untuk orang yang sibuk? Jadi, sarapan yang terbaik harus menepati 4 syarat ini iaitu:
1) seimbang 2) tidak berlebihan 3) tanpa empty calories 4) berserat.
4 syarat ini mudah diamalkan dengan mengikut prinsip “Suku-suku Separuh” iaitu suku daripada pinggan adalah karbohidrat (nasi, mee, roti, bijirin, dan ubi) manakala suku lagi dari protein (ikan, ayam, daging dan kekacang). Separuh pinggan adalah buah-buahan dan sayur-sayuran. Prinsip ini juga dapat mengawal kuantiti makanan yang anda ambil dan menggalakkan makanan seimbang dan sihat.

Bagaimana pula dengan empty calories?
Makanan empty calories adalah makanan yang tinggi kalori tetapi rendah zat nutrient contohnya minuman bergula, gula-gula, dan makanan proses yang boleh menyebabkan kalori atau tenaga berlebihan dalam badan dan menjadi punca obesiti dalam jangka masa yang lama. Makanan kalori kosong ini boleh ditukar dengan pilihan berserat yang lebih mengenyangkan dan membantu dalam pengurusan berat badan.




Tiada masa untuk bersarapan?
1) Sarapan boleh disediakan awal; pada waktu malam sebelum tidur
2) Guna bahan yang mudah seperti telur, roti, oat dan bijirin sarapan.
