top of page

Bagaimana Hendak Mengelak Dari Jangkitan Kulat Vagina?


Pengenalan


Jangkitan kulat vagina adalah jangkitan di vagina yang melibatkan pembiakan sejenis kulat yang berlebihan yang dikenali sebagai “Candida Albicans”. Jangkitan ini lazimnya berlaku dikalangan wanita yang masih subur dan jarang berlaku sebelum bermulanya haid atau selepas menopos. Jenis kulat ini biasanya di jumpai di mulut, usus, faraj dan akan menjadi masalah sekiranya pembiakanya berlebihan. 15% dari wanita yang sihat mempunyai kulat ini dan tiada tanda-tanda1. Wanita yang tiada tanda-tanda tidak perlu dirawat. Walau bagaimanapun, wanita yang mempunyai penyakit HIV2 dan wanita yang mengandung, insiden penyakit jangkitan kulat vagina mungkin lebih tinggi1. 15% dari pesakit yang mempunyai ketahanan badan yang rendah boleh dapat jangkitan kulat sistemik yang lebih teruk.


Apakah faktor risiko jangkitan kulat vagina?


Faktor risiko yang boleh meningkatkan seseorang wanita itu mendapat jangkitan kulat vagina adalah:

  • Rawatan antibiotik

  • Mengandung

  • Diabetes Mellitus yang tidak terkawal

  • Kegemukan

  • Penghidap penyakit HIV

  • Menggunakan dos steroid yang tinggi

  • Tekanan perasaan

  • Mereka yang menggunakan rawatan kanser ( Kemoterapi)

  • Kekurangan zat makanan

Rawatan antibiotik boleh mengubah bakteria protektif (Laktobacilli) dalam vagina dan menggalakan pembiakan Candida yang berlebihan. Pengeluaran hormone yang tinggi (estrogen dan progesterone) semasa mengandung merendahkan tindakbalas imuniti dan seterusnya boleh meningkatkan peluang untuk mendapat jangkitan kulat vagina. Mereka yang didalam kumpulan umur sebelum haid (belum baligh) dan selepas menopos mempunyai paras hormone yang rendah dan vaginal candidiasis jarang berlaku.



Adakah vaginal candidiasis penyakit kelamin?


Jangkitan kulat vagina bukan penyakit kelamin. Walau bagaimanapun pasangan kepada wanita yang menghidapi jangkitan kulat vagina mungkin ada sedikit tanda-tanda seperti gatal dan ruam di bahagian kemaluan selepas mengadakan hubungan seksual. Pasangan ini tidak perlu rawatan melainkan ada tanda-tanda atau gejala.



Apakah tanda-tanda dan gejala jangkitan kulat vagina?


Tanda-tanda jangkitan kulat vagina adalah gatal, rasa hangat, sakit semasa hubungan seksual, tidak selesa, sakit semasa kencing dan irritasi (perengsaan). Semasa pemeriksaan, doktor mungkin mendapati bengkak dan merah di bahagian kemaluan dan lelehan putih kekuningan di vagina. Jangkitan lain seperti “bacterial vaginosis” atau “ gonorrhea” boleh menyerupai tanda-tanda vaginal candidiasis.


Doktor anda mungkin perlu menghantar spesimen(swab) yang diambil dari bahagian atas vagina untuk pemeriksaan mikroskopi supaya dapat mengenalpasti jenis organisme penyebab jangkitan.



Apakah rawatan yang ada?


Rawatan yang lazim adalah:

  1. Clotrimazole vaginal pesari 500 mg stat atau 200 mg setiap hari untuk 3 hari.

  2. Econazole vaginal pesari 150mg satu dos sebelum tidur atau 150mg untuk 3 malam

  3. Fenticonazole vaginal pesari 600mg satu dos atau 200 mg untuk 3 hari

  4. Miconazole vaginal pesari 1.2 g satu dos atau 200 mg untuk 3 hari

  5. Teconazole vaginal pesari 80 mg sekali sehari untuk 3 hari

  6. Nystatin vaginal pesari 100,000 unit untuk 14 hari

Ubat pil seperti Fluconazole juga boleh digunakan terutamanya bagi wanita yang tidak gemar menggunakan pesari vagina. Ianya sangat efektif dan pilihan yang baik untuk jangkitan kulat sistemik dan mereka yang mempunyai daya tahan badan yang rendah seperti penghidap HIV, pesakit kanser yang menggunakan kemoterapi dan mereka yang dapat jangkitan kulat yang berulang.


Ubat pil anti-kulat tidak boleh digunakan semasa mengandung dan menyusukan bayi kerana kurang kajian dari segi keselamatanya untuk janin atau bayi anda. Rawatan setempat seperti pesari vagina, pil vagina, atau krim telah terbukti mempunyai kurang kesan sampingan. Oleh itu lebih selamat untuk digunakan semasa mengandung dan menyusukan bayi.



Bagaimana hendak mengelak dari jangkitan kulat vagina?

  • Elak seluar dalam yang diperbuat dari kain sintetik.

  • Elakkan dari meletakkan atau membubuh produk wangi-wangian di bahagian kemaluan.

  • Jangan membersih kawasan faraj dengan sabun biasa tetapi gunalah pelembab diperbuat khas untuk faraj / kawasan kemaluan.

  • Pastikan kawasan di bahagian kemaluan kering dan bersih.

  • Kalau anda menghidap Diabetes Mellitus, pastikan paras glukos anda terkawal.

  • Jika and menghidap HIV, CD4 yang tinggi dan Viral load yang rendah boleh membantu. Sekiranya anda mempunyai CD4 yang rendah dan viral load yang tinggi, rawatan anti-retroviral akan meningkatkan CD4 dan menurunkan viral load anda dan seterusnya dapat mencegah dari jangkitan kulat vagina.



Apa perlu saya buat sekiranya saya dapat jangkitan kulat vagina yang berulang?


Jangkitan kulat yang berulang berlaku apabila seorang wanita itu mengalami jangkitan berulang empat kali atau lebih. Jangkitan berulang berlaku pada 5-8% dikalangan wanita yang subur.


Ada beberapa faktor risiko seperti :

  • Wanita yang kurang daya tahan

  • Wanita yang menghidap Diabetes Mellitus yang tidak terkawal

  • Wanita yang mengambil steroid jangka panjang

  • Wanita yang menggunakan kemoterapi

  • Jenis kulat yang ganas

  • Jenis kulat yang kebal kepada anti kulat


Sekiranya anda mengalami jangkitan kulat yang berulang, doktor anda akan beri ubat bergantung kepada keputusan kaji kuman dan sensitiviti. Rawatan yang diberi samada pil anti kulat atau pesari vagina yang diberi untuk jangkamasa panjang atau rawatan secara kitaran(cyclical).


Cara rawatan mungkin berbeza jika selalu mendapat jangkitan yang berulang. Misalnya, makan pil Fluconazole 150 mg setiap minggu selama 6 bulan1. Tiada bukti kukuh yang menunjukkan rawatan pencegahan kepada pasangan seksual atau suami yang tiada gejala jangkitan, boleh mencegah jangkitan kulat berulang di kalangan wanita.



Apa perlu saya buat sekiranya saya dapat jangkitan kulat vagina?


Anda boleh berjumpa doktor keluarga anda, doktor swasta atau doktor di klinik kerajaan yang terdekat untuk pemeriksaan dan rawatan.

Rujukan :

  1. Sobel, J. (1998). “Recurrent vulvovaginal candidiasis.” MMWR Morb Mortal Wkly Rep 47: 75-79.

  2. Ann Duerr et al.( 2003). “Incident and Persistent Vulvovaginal Candidiasis Among Human Immunodeficiency Virus–Infected Women: Risk Factors and Severity”. The American College of Obstetricians and Gynecologists. VOL. 101, NO. 3,

  3. MacDonald, T. M., P. H. G. Beardon, et al. (1993). “The risks of symptomatic vaginal candidiasis after oral antibiotic therapy.” QJM 86(7): 419.

  4. Lynda V.W et al ( 2003). “ Relative risk of vaginal candidiasis after use of antibiotics compared with antidepressants in women”. Drug safety ; 26 (8): 589-597

  5. Fidel Jr, P. L., J. Cutright, et al. (2000). “Effects of reproductive hormones on experimental vaginal candidiasis.” Infection and immunity 68(2): 651.

  6. Fong, I. W. (1992). “The value of treating the sexual partners of women with recurrent vaginal candidiasis with ketoconazole.” Genitourinary medicine 68(3): 174.

Tarikh Semakan: 20 Jun 2014

Penulis/Penterjemah: Dr. Fuziah Paimin

Akreditor: Dr. Haris Njoo Suharjono

Penyemak: Dr. Hj. Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi

Laman web: http://www.myhealth.gov.my/jangkitan-kulat-di-vaginafaraj/

MED Your Life
​健康药分享

【健康药分享 MED Your Life】,

是马来西亚获政府认证的

专业药剂师、营养师及

饮食治疗师,一起配合、

撰写及特别推荐的

健康资讯网。


健康,是福分,是无价的。

祈望所提供的健康资讯,

让大家受益无穷。

祝福大家拥有一个健康人生。

 

Med Your Life. 
Healthy, it's a blessing and priceless.

Wishing you have a healthy LiFE forever!!!

Post Category

Top 5 

Recommended Product

59765_Metabolic-VCO_1.jpg
53814_Metabolic-Sauver_1.jpg
61867-01.jpg

Visitors

Let's go for a healthy and vibrant world together!

Never miss an update

Name

Email

VEGESORB MOISTURISING CLEANSING.jpeg
bottom of page