Tahukah Anda Cara-Cara Untuk Menggunakan Ubat Titis Mata & Salap Mata Dengan BETUL???
Mata merupakan salah satu organ yang terpenting pada badan kita. Kita melihat dengan mata, membaca dengan mata dan menghayati dunia ini melalui mata. Akan tetapi, kita sentiasa mengabaikan penjagaan mata dan membebankan mata kami dengan melihat skrin computer serta telefon bimbit dalam masa yang panjang.
Ubat penggunaan luar yang selalu digunakan untuk penjagaan mata serta rawatan penyakit mata boleh dibahagikan kepada ubat titis mata serta salap mata. Ubat-ubatan ini perlu diguna dan disimpan dengan cara yang khas. Ia juga perlu digunakan dengan teknik-teknik tertentu. Biarlah kami belajar dengan lebih mendalam mengenai ubat mata!
Ubat Titis Mata (Eye Drop) & Salap Mata (Eye Ointment)
Kepedihan, iritasi dan mata merah boleh disebabkan oleh beberapa factor seperti habuk, asap, alahan, bekerja di hadapan computer terlalu lama, jangkitan bakteria dan mata kering. Terdapat juga masalah mata seperti glaukoma, katarak dan macular degenerasi yang memerlukan pemerhatian daripada doktor dan pakar mata. Bagi penyakit yang melibatkan mata, terdapat banyak jenis ubat titis mata yang boleh didapati samada sebagai ubat titis mata OTC (over-the-counter) atau yang memerlukan preskripsi. Contoh ubat titis mata yang terdapat di farmasi adalah seperti ubat titis mata yang berfungsi sebagai pelincir (lubricating eye drops), antihistamin, dan dekongestan.
Ubat titis pelincir (lubricating eye drops)
Jika anda menghadapi masalah mata kering akibat daripada penggunaan computer yang berpanjangan atau kerana membaca terlalu lamat, ubat titis pelincir boleh digunakan untuk melegakan masalah. Di pasaran, ia juga dikenali sebagai air mata palsu (artificial tears). Terdapat beberapa produk di pasaran yang mengandungi bahan pengawet dan tanpa bahan pengawet. Beritahu pada ahli farmasi jika anda ada alahan pada bahan pengawet yang terdapat dalam ubat titis mata sebelum membeli ubat titis mata. Jika anda adalah pengguna kanta lekap (Contact Lens), anda perlu menggunakan ubat titis pelincir yang tidak mengandungi bahan pengawet.
Ubat titis antihistamin dan pengecut salur darah
Ubat titis antihistamin selalunya digunakan bagi masalah kegatalan mata dan berair yang disebabkan oleh alahan. Pengecut salur darah pula digunakan bagi masalah kemerahan mata. Terdapat juga beberapa produk yang mempunyai kombinasi antihistamin dan pengecut salur darah. Bagi ubat titis mata yang mengandungi pengecut salur darah, ianya hanya boleh digunakan selama 5 hari sahaja kerana penggunaan yang lebih lama akan menyebabkan simpton menjadi lebih teruk. Ubat titis mata dekongestan tidak boleh digunakan bagi pesakit yang menghidap glaukoma.
Eye Drop VS Eye Ointment
Terdapat beberapa perbezaan antara ubat titis mata (eye drop) dan ubat salap mata (eye ointment).
• Kebanyakan ubat titis mata adalah dalam bentuk cecair manakala ubat salap mata adalah dalam separa pepejal.
• Dos ubat titis mata jenis cecair adalah lebih konsisten untuk disukat dengan mengira bilangan titisan (cth: 1-2 titis) berbeza dengan jenis salap yang sukar untuk disukat.
• Ubat jenis salap adalah lebih pekat dan mengakibatkan penglihatan menjadi kabur. Waktu yang paling sesuai untuk menggunakan salap mata adalah sebelum tidur.
• Namun begitu, kepekatan ubat jenis salap boleh bertahan lebih lama pada mata.
Cara-Cara Menggunakan Ubat Titis Mata:
1. Basuh tangan dan pastikan anda tidak memakai kanta lekap ketika menggunakan ubat titis mata. Duduk atau berdiri di hadapan cermin.
2. Dongakkan kepala sedikit ke belakang dan pastikan mata memandang ke siling.
3. Dengan membuka mata, tarik kelopak mata bahagian bawah secara lembut untuk membentuk karung di bahagian bawah kelopak mata.
4. Titiskan ke dalam mata dari tepi mata dan picit satu titis ke dalam karung yang dibentuk tersebut. Jangan biarkan tip atau tiub ubat titis mata tersebut menyentuh bahagian mata, alis mata atau permukaan lain pada mata.
5. Lepaskan kelopak mata yang ditarik sebentar tadi dan tutup mata sebentar.
6. Tekan secara lembut pada tepi kelopak mata (berebelahan hidung) untuk beberapa ketika bagi mengelakkan ubat titis mata masuk ke dalam hidung / tekak.
7. Untuk titisan mata kedua, tunggu selama beberapa minit selepas titisan pertama.
8. Jika anda menggunakan lebih daripada 2 jenis ubat mata (seperti untuk glaukoma), pastikan anda menunggu selama 5 minit sebelum menggunakan ubat mata yang kedua.
Nota: Untuk kanak-kanak tutup mata dengan lembut, titiskan sedikit ubat pada belah dalam mata berdekatan dengan hidung. Maklumkan pada kanak-kanak tersebut untuk membuka mata sambil menyengetkan kepala ke tepi.
Cara-cara menggunakan UBAT SALAP MATA:
1. Basuh tangan dan pastikan anda tidak memakai kanta lekap ketika menggunakan ubat titis mata. Duduk atau berdiri di hadapan cermin.
2. Dongakkan kepala sedikit ke belakang dan pastikan mata memandang ke siling.
3. Dengan membuka mata, tarik kelopak mata bahagian bawah secara lembut untuk membentuk karung di bahagian bawah kelopak mata.
4. Picitkan sedikit salap mata tersebut (anggaran : 1cm) ke dalam karung yang dibentuk tadi.
5. Kerdipkan mata beberapa kali ketika untuk meratakan ubat salap mata.
6. Sekiranya anda turut menggunakan ubat titis mata pada masa yang sama, sapukan ubat salap mata ini kemudian.
TIPS PENTING:
Terdapat beberapa tips keselamatan yang penting dalam penggunaan ubat mata namun masih ramai yang tidak mengetahuinya. Antara perkara yang perlu dilakukan ketika menggunakan ubat mata adalah:
A. Pastikan muncung bekas ubat titis mata anda tidak menyentuh mana-mana bahagian mata anda. Ini bagi mengelakkan jangkitan bakteria merebak dengan lebih senang.
B. Jangan kongsi ubat titis mata anda dengan pengguna lain.
C. Catatkan tarikh anda membuka ubat titis mata pada botol dan buang ubat titis mata anda selepas 30 hari dibuka. Jika belum dibuka, tarikh luput adalah seperti yang tertera pada kotak.
D. Sekiranya mata anda mempunyai jangkitan kuman, elakkan memakai kanta lekap.
E. Gunakan ubat titis mata anda seperti yang diarahkan mengikut jangka masa dan bilangan titisan yang disarankan oleh doktor. Penggunaan melebihi had masa yang disarankan mungkin akan merosakkan mata anda.
Adalah amat penting untuk anda mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi mengenai penggunaan ubat mata yang sesuai dan berapa lama ia patut digunakan. Penggunaan ubat mata yang bersesuaian dengan teknik yang betul akan mampu merawat masalah mata anda dan mengelakkan kesan sampingan akibat penggunaan ubat mata yang tidak bersesuaian.